BERITA UTAMA

ARKIB : 10/01/2009

Larian Amal 'Untukmu Palestin'

KOTA BHARU 9 Jan. - Larian Amal 'Untukmu Palestin' yang diadakan di Padang Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian di sini hari mendapat sokongan orang ramai.

Timbalan Pengarah Pusat Islam USM Kubang Kerian, Dr. Wan Nudri Wan Daud berkata, seramai 305 peserta terlibat dalam larian berkenaan yang bertujuan mengumpul dana untuk didermakan kepada rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Israel.

''Wang yang dikumpulkan akan disalurkan kepada rakyat Palestin melalui Tabung Aman Malaysia," katanya ketika berucap pada majlis pelepasan larian itu di USM Kubang Kerian di sini.

Orang ramai boleh menyumbang sekurang-kurangnya RM5 hingga RM100.

Sementara itu, seramai 12 peserta menerima hadiah untuk tempat pertama hingga ketiga bagi empat kategori larian pada program tersebut.

Bagi kategori perempuan 18 tahun ke atas, Nurfarahin Sufti dari Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) mendapat tempat pertama, tempat kedua disandang oleh Siti Nurhabibah Mohamad Noh dan ketiga, Nur Anis Mohamad Safaruddin.

Bagi kategori lelaki 18 tahun ke atas pula, tempat pertama dan kedua dimenangi penuntut dari Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) iaitu Mohd. Shah Fahad Mamat dan M. Kaarthic Muniandi manakala Mazfar Raziq Abdul Majid mendapat tempat ketiga.

''Kategori perempuan 18 tahun ke bawah, tempat pertama disandang oleh Nurul Sakinah Zabidi Azhar, kedua, Aziemah Azhar dan ketiga, Robiatul Hasnina Rushdan," katanya.

Menurut Dr. Wan Nudri, penyertaan teramai adalah daripada Kolej Politech-Mara seramai 53 orang, disusuli UiTM Cawangan Kelantan dengan 38 orang.

Beliau memberitahu, larian tersebut adalah antara program pengisian sambutan minggu penghayatan Islam selama empat hari yang diadakan di universiti berkenaan.

Katanya, dua program lain yang diadakan ialah Forum Bicara Ad-deen dan Konsert Aman Palestin bersama Raihan di Dewan Utama Kampus Kesihatan pada 10 Januari mulai pukul 8.30 malam.

Sumber : Utusan Online