Timur: 23 pelajar dipilih anggotai MPP KIST

BACHOK: Seramai 23 pelajar Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) dipilih sebagai ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi sesi pengajian 2009, menerusi pilihan raya kampus yang berakhir petang semalam.

Yang Dipertua MPP KIST yang baru dilantik, Mohd Harizal Khalid,20, berkata sebaik diberi mandat oleh semua pelajar menerusi pilihan raya kampus itu, kebajikan pelajar adalah agenda utama yang akan diperjuangkan beliau bersama semua jawatankuasa MPP sepanjang tempoh memegang jawatan itu.

"Buat permulaan bagi membuktikan betapa pentingnya kebajikan pelajar diberi tumpuan, MPP bercadang mewujudkan satu tabung kebajikan bagi membantu mana-mana pelajar yang berdepan situasi kecemasan.


 

"Selain mewujudkan tabung berkenaan, pembangunan sahsiah pelajar kolej ini juga menjadi satu agenda MPP kerana kita mahu graduan yang lahir daripada KIST bukan saja cemerlang dari segi akademik tetapi turut mempunyai sahsiah unggul," katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas diumumkan sebagai Yang Dipertua MPP KIST, semalam. Pada pilihan raya kampus itu, seramai 2,500 pelajar KIST menunaikan tanggung jawab memilih pemimpin mereka di kalangan 35 calon yang bertanding kerusi peringkat Jabatan Pengajian dan Umum.

Mohd Harizal yang dipilih sebagai Yang Dipertua MPP KIST selepas menang kerusi Umum dengan undi tertinggi, berkata MPP akan dijadikan medan pelajar untuk menyuarakan masalah mereka dan pihaknya menjadi perantara bagi menyuarakan masalah terbabit kepada pihak pengurusan kolej.

Selain itu juga, MPP juga katanya akan menjadi satu badan yang akan menyuarakan pandangan serta cadangan kepada pihak kolej, bagi menambah baik serta meningkatkan lagi mutu pelajar.

Sementara itu, Pengurus Hal Ehwal Pelajar (HEP) KIST, Mohd Yuzaidi Che Rahim, berkata pilihan raya kampus itu berjalan lancar tanpa menimbulkan sebarang kejadian tidak diingini.

"Semua pelajar mematuhi garis panduan yang ditetapkan sepanjang pilihan raya kampus ini bermula, sebaik hari penamaan calon 23 Februari lalu. Mereka berkempen secara berhemah dan tertib.

"Selain itu, pilihan raya kampus ini juga berjalan tanpa dipengaruhi mana-mana parti politik, semua calon yang bertanding mereka hanya menawarkan khidmat kepada pelajar, tidak ada calon proaspirasi atau pembangkang di KIST," katanya.

 

Sumber : Berita Harian Online