|
DALAM NEGERI
ARKIB : 22/01/2009 Kutipan Dakap berjumlah RM544,483.56KUALA LUMPUR 21 Jan. – Sumbangan orang ramai kepada Dana Kemanusiaan Palestin (Dakap) anjuran Kumpulan Utusan dan Islamic Relief Malaysia (IRM) terus mencurah-curah dengan jumlah kutipan terkini sebanyak RM544,483.56. Pengurus Negara IRM, Zawahir Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM5,210.10 disumbangkan oleh orang ramai secara online di www.irm.org.my. “Setakat hari ini, IRM tidak menerima sumbangan daripada mana-mana syarikat atau individu. Sumbangan hanya diterima menerusi online,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Zawahir berkata, selain kutipan menerusi online dan sumbangan terus, pihaknya turut mengadakan beberapa aktiviti untuk mendekatkan orang ramai dengan IRM di samping menggalakkan mereka menderma kepada Dakap. Menurutnya, antara aktiviti yang dijalankan termasuk larian amal ria di Menara Alor Star, Kedah dan pertandingan memasak bubur asyura pada 24 Januari ini. Jelasnya, aktiviti tersebut turut menyediakan hadiah menarik dan cabutan bertuah. Bagi peserta pertandingan memasak bubur, mereka berpeluang memenangi hadiah utama bernilai RM1,430. “Orang ramai yang berminat untuk menyertai larian dan pertandingan memasak itu boleh mendapatkan borang di Menara Alor Setar dengan hanya membayar yuran penyertaan RM5 bagi larian ria dan RM50 untuk pertandingan memasak. “Yuran penyertaan bagi kedua-dua aktiviti akan terus disalurkan ke akaun Dakap,” katanya. Sementara itu, Pro Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Arshad Ayub menerusi syarikat milik keluarganya, Zalaraz Sdn. Bhd. menyumbang RM5,000 kepada tabung Dakap. Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) di Kelantan pula menyumbang sebanyak RM15,000.
|