TIMUR

ARKIB : 23/08/2008

Pelajar turut menjadi jurucakap

BACHOK 22 Ogos - Tidak mudah untuk meyakinkan pelajar memilih melanjutkan pengajian di Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) di sini ekoran terdapat banyak kolej pengajian tinggi swasta di negara ini dengan pelbagai kelebihan yang ditawarkan.

Namun setelah tiga tahun beroperasi dalam persaingan industri pendidikan, KIST yang terletak dalam perkampungan tradisional semakin mendapat perhatian apabila para pelajarnya turut menjadi 'jurucakap' kolej itu.

KIST semakin menjadi pilihan para pelajar terutama dalam bidang sains kesihatan ekoran kursus yang ditawarkan memenuhi pasaran pekerjaan disebabkan kurikulum pembelajaran yang digubal disesuaikan dengan keperluan itu.

Para pelajarnya mendapat kemudahan pinjaman pelajaran daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Mara, kemudahan makmal yang lengkap, tenaga pengajar berpengalaman dan suasana pembelajaran dalam persekitaran yang tenang.

Bekas pelajar Diploma Kejururawatan, Norain Rosnal, 21, berkata, kolej tersebut amat mementingkan kualiti dan setiap pelajarnya diberikan pendedahan yang secukupnya termasuk aktiviti di luar kampus bagi membolehkan mereka mendapatkan pekerjaan sebaik saja tamat pengajian.

"Para pelajar di sini terutama dalam jurusan jururawat tidak perlu bimbang untuk mendapatkan pekerjaan kerana pada semester akhir kebanyakan hospital swasta akan mengadakan temu duga terbuka khusus untuk para pelajar.

"Paling menggembirakan, KIST sendiri menawarkan pekerjaan kepada bekas pelajarnya. Saya kini bekerja dengan KIST sebagai pelatih jururawat dan kami yang bekerja di sini ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah secara percuma," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Fatah Mohd., 21, berkata, beliau memilih kolej tersebut sebab ia mempunyai potensi untuk terus maju.

"Saya merupakan 'anak sulung' KIST dan merasa amat bertuah apabila diberikan peluang untuk meneruskan kerjaya di sini walaupun baru saja menamatkan pengajian pada Jun lalu dalam jurusan Diploma Diagnostik dan Radiografi.

"Seramai 20 daripada 44 pelajar yang menamatkan pengajian baru-baru ini diberikan tawaran pekerjaan oleh KIST dengan peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah," katanya.

Katanya, jika tidak diberikan peluang pekerjaan di kolej tersebut mereka tidak merasa bimbang kerana masih banyak lagi peluang di hospital swasta.

Sementara itu, J. Thiagaraj, 22, berkata, biarpun beliau bukan beragama Islam ia tidak menjadi halangan untuk menuntut di kolej itu.

"Saya dan rakan-rakan bukan Melayu tidak merasa kekok di sini walaupun nama kolej tersebut terdapat perkataan Islam dan di sini cukup sesuai untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran," katanya yang menuntut dalam bidang Sains Senaman dan Sukan.

Pendapat itu turut disokong oleh seorang pelajar dari Sabah, Rickey Kamideh, 22, yang selesa belajar dan tinggal bersama-sama pelajar Islam.

"Mula-mula saya merasa agak takut dan segan memandangkan budaya di sini agak berbeza tetapi selepas memulakan pengajian di sini saya merasa amat seronok.

 

Sumber : Utusan Online