Kolej Islam Sains dan Teknologi perkenal latihan bidang penerbangan

KOTA BHARU 25 Jun - Selepas berjaya melahirkan golongan profesional dalam bidang pendidikan perubatan, Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) memperkenalkan KIST Aviation Academy (KISTAA) iaitu latihan dalam bidang penerbangan yang akan bermula September ini.

Presiden KIST, Muhammad Zamly Abdullah berkata, menerusi pelaburan sebanyak RM20 juta, program itu akan memberi fokus terhadap tawaran Lesen Juruterbang Komersial dengan Rating Instrumen (CPL/IR) serta Lesen Pengangkutan Penerbangan.

Katanya, semua latihan penerbangan tersebut yang akan diadakan di Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu, Terengganu, telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Awam April lalu.

"KIST telah berkembang maju sejak beberapa tahun lepas dan melihat kepada keupayaan yang ada, kami bercadang membuka lembaran baru dalam pendidikan yang ditawarkan kerana yakin dengan kebolehan KIST.

"KIST akan menawarkan program Diploma Eksekutif Penerbangan membabitkan jangka masa kursus selama 14 hingga 18 bulan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan majlis makan malam dengan petugas media Kelantan di Hotel New Pacific di sini semalam.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif KIST, Dr. Mohd. Azman Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Memandu KIST, Roomai Nor Ali.

Muhammad Zamly berkata, mengikut perancangan awal, sebanyak 20 buah pesawat akan dihantar secara berperingkat-peringkat mengikut fasa ditetapkan.

Jelasnya, fasa pertama membabitkan tiga buah pesawat yang dapat digunakan antara 18 dan 20 pelajar.

"Bagaimanapun pengambilan pelajar bergantung kepada tenaga pengajar mahir yang diperlukan untuk mendalami ilmu penerbangan bagi memastikan kualiti pelajar dilahirkan benar-benar terjamin.

"Kemungkinan simulator akan digunakan dalam pengajaran, bergantung kepada keadaan dan kajian secara terperinci kerana kita hanya memesan pesawat mengikut fasa," ujarnya.

Tambahnya, sehingga kini, KIST telah mendapat jumlah permohonan yang menggalakkan daripada pelajar yang ingin mengikuti program tersebut.

 


Sumber : Utusan Online

 www.kist.edu.my