|
KAMPUS
ARKIB : 30/01/2009 KIST sasar kolej universitiKOTA BHARU 29 Jan. - Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) dijangka mula beroperasi sebagai sebuah kolej universiti dalam tempoh beberapa tahun lagi. Ahli Lembaga Penasihat KIST, Datuk Dr. Ahmad Razin Datuk Ahmad Mahir berkata, bagaimanapun pihaknya menyasarkan kolej yang dimiliki sepenuhnya oleh bumiputera itu mampu mencapai status tersebut menjelang 2010. Beliau berkata, semua dokumen yang diperlukan berhubung tahap keupayaan kolej kini dalam proses semakan dan akan dihantar kepada Kementerian Pengajian Tinggi tidak lama lagi. "Lebih 20 perkara termasuk perancangan dan penyelidikan disenaraikan dalam dokumen tersebut. Dokumen juga akan dibincangkan dalam bengkel permurnian dalam melengkapkan sebagaimana yang diperlukan," katanya. Beliau berucap merasmikan Seminar 'Pembelajaran Berterusan Perubatan Keselamatan, Pengurusan terkini Perubatan Pengimejan' anjuran KIST di sini hari ini. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif KIST kampus Bachok, Prof. Dr. Mohd. Azman Abu Bakar. Seramai 80 orang termasuk petugas X-ray dari hospital seluruh negara menyertai seminar yang julung kali diadakan itu. Menurut Dr. Ahmad Razin, KIST yang mula beroperasi pada tahun 2005 kini muncul sebagai kolej swasta terbesar di pantai timur dengan pembukaan kampus cawangan di Kuala Berang, Terengganu mulai April depan. "KIST menawarkan lebih 20 kursus peringkat diploma termasuk pembantu perubatan, juru pulih kerja, syariah, kejururawatan, psikologi dan fisioterapi. "Ia juga mendapat kepercayaan Kementerian Kesihatan untuk menghantar calon untuk meneruskan pengajian di kolej itu," ujarnya.
|