KOTA BHARU: Kolej sains kesihatan terbesar di
Pantai Timur, Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST), kini melebarkan
sayapnya dengan pembukaan kampus cawangan pertama bertempat di Kuala
Berang, Terengganu, mulai Rabu depan, untuk menerima kemasukan kira-kira
400 penuntut baru.
Sempena pengambilan pelajar bulan ini, KIST turut memperkenalkan dua
kursus baru iaitu Diploma Terapi Cara Kerja dan Sijil Pembantu Kesihatan
Awam, sebagai tambahan kepada 12 kursus pengajian sedia ada.
Ketua Pegawai Eksekutif KIST Graduate Intake, Noor Haslina Abdullah,
berkata Kampus KIST Kuala Berang mempunyai keluasan hampir 50 hektar itu,
asalnya sebuah resort milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebelum
diambil alih dan dibangunkan oleh KIST dengan kos RM17 juta.
"Sebagai permulaan, kampus baru ini akan
menempatkan kira-kira 400 pelajar baru jurusan Sains Senaman & Sukan;
Keselamatan dan Kesihatan Pekerja; Psikologi dan Kesihatan Persekitaran
"Berdasarkan suasana kampus baru itu, kami yakin semua pelajar akan
menyukainya dengan pelbagai kemudahan riadah yang turut disediakan.
Ketika ini, kampus induk KIST, Ibnu Sina di Bachok, sedang menempatkan
kira-kira 2,900 pelajar merangkumi 12 kursus pengajian peringkat
diploma," katanya.
Noor Haslina berkata, sejajar dengan pembukaan kampus cawangan itu, KIST
kini dalam usaha menarik kemasukan pelajar asing khususnya dari negara
serantau terutama Selatan Thailand dan Indonesia untuk melanjutkan
pengajian di situ mulai kemasukan yang diadakan Jun nanti.
"Sebagai permulaan, kami mensasarkan pengambilan
pelajar serantau kerana persamaan budaya dan agama yang memudahkan lagi
pergaulan mereka dengan masyarakat setempat. Ketika ini, KIST sedang
menaja lima pelajar Islam dari Selatan Thailand sejak pertengahan tahun
lalu dan mereka menunjukkan potensi yang baik, justeru ia akan
dikembangkan.
"Ini kerana, lima kursus yang ditawarkan KIST iaitu Kejururawatan,
Pembantu Perubatan, Juru X-Ray; Psikologi dan Syariah sudah mendapat
pengiktirafan penuh daripada Lembaga Akreditasi Malaysia (MQA) dan
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang membolehkan graduan KIST turut
diterima berkhidmat dengan jabatan kerajaan," katanya.
Beliau berkata, sejak dua tahun lalu, KIST juga menerima pelajar tajaan
Kementerian Kesihatan membabitkan seramai 60 orang bagi setiap kemasukan
Januari dan Julai untuk kursus jururawat, pembantu perubatan dan juru
x-ray.
Katanya, berbekalkan diploma masing-masing, lulusan KIST kini turut
diterima melanjutkan pengajian peringkat sarjana muda oleh Universiti
Teknologi Mara (UiTM)
"Kumpulan graduan pertama KIST seramai 313 orang
yang menamatkan pengajian pada tahun lalu, mendapat pekerjaan sepenuhnya
dengan masing-masing kini berkhidmat dengan hospital kerajaan dan swasta
di seluruh negara serta beberapa agensi kerajaan lain.
"Seramai 479 graduan kedua KIST dijadual menamatkan pengajian pada Jun
ini dan menerima diploma masing-masing pada Ogos nanti termasuk 60
pelajar yang bakal menjadi Pembantu Perubatan Wanita pertama di
Malaysia," katanya.
Katanya, walaupun yuran pengajian yang dikenakan adalah antara RM13,000
hingga RM57,000 mengikut kursus, namun ia turut merangkumi kos
penginapan, pengangkutan dan pakaian seragam sepanjang tempoh pengajian
dan latihan klinikal yang perlu dijalani semua pelajarnya pada setiap
semester.
Beliau berkata, kumpulan graduan pertama KIST yang memiliki kerjaya
dengan pendapatan masing-masing antara RM1,900 hingga RM2,500 sebulan
membolehkan mereka tidak berdepan masalah untuk membayar balik
pembiayaan pengajian yang diterima sepenuhnya daripada Perbadanan Tabung
Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN).
Katanya, mana-mana pelajar yang ingin mendapatkan maklumat lanjut dan
peluang melanjutkan pelajaran di KIST boleh melayari sesawangnya,
www.kist.edu.my
Sumber :
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Wilayah/20090404095930/Article/
