Berita Timur
 
April 07, 2009 11:20 AM

KIST Kuala Berang Mula Operasi Esok

 

KOTA BAHARU, 7 April (Bernama) -- Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST), kolej sains kesihatan terbesar di pantai timur kini membuka kampus cawangan pertama di Kuala Berang, Terengganu.

Kampus cawangan yang mula dibuka esok dengan pengambilan kira-kira 400 penuntut baru itu juga akan memperkenalkan dua kursus baru iaitu Diploma Terapi Cara Kerja dan Sijil Pembantu Kesihatan Awam.

Ketua Pegawai Eksekutif KIST Graduate Intake Noor Haslina Abdullah berkata Kampus KIST Kuala Berang dibangunkan di atas tanah seluas hampir 50 hektar dengan kos RM17 juta.

"Sebagai permulaan, kampus baru ini akan menempatkan kira-kira 400 pelajar baru jurusan Sains Senaman & Sukan, Keselamatan dan Kesihatan Pekerja dan Psikologi dan Kesihatan Persekitaran," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata KIST mempunyai kampus induk iaitu Ibnu Sina di Bachok yang menempatkan kira-kira 2,900 penuntut dan menawarkan 12 kursus peringkat Diploma.

Sejak dua tahun lepas, KIST menerima 60 pelajar tajaan Kementerian Kesihatan bagi setiap kemasukan Januari dan Julai untuk kursus jururawat, pembantu perubatan dan juru x-ray.

Nor Haslina berkata pelajar yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai peluang melanjutkan pelajaran di KIST boleh melayari lama web di alamat www.kist.edu.my.

-- BERNAMA